Saturday, September 29, 2012

Kehamilan Luar Rahim

Kehamilan luar rahim atau actopic pragnency boleh berlaku kepada mana-mana wanita mengandung. Ia boleh berlaku pada mana-mana bahagian seperti ovari, servik, abdomen, atas usus dan sebagainya. Namun 95% lazimnya berlaku pada tiub fallopio.


Biasanya doktor hanya dapat mengenal pasti masalah ini sekitar minggu keenam hingga kelapan kehamilan. Jadi adalah amat penting untuk ibu-ibu yang mengandung supaya melakukan pemeriksaan kehamilan seawal yang mungkin untuk mengetahui masalah yang mungkin berlaku di peringkat awal. Jika tidak, dikhuatiri kandungan yang berada di luar rahim tersebut akan pecah dan terpaksa melalui rawatan susulan yang berbeza.

Masalah kehamilan luar rahim ini sukar dikenal pasti kerana tiada simptom yang ditunjukkan pada awal kelahiran.


PUNCA KEHAMILAN LUAR RAHIM
  • Jangkitan kuman pada bahagian pelvis - Kuman akan merosakkan selaput dinding tiub. Kemudian parut akan terbentuk selepas jangkitan dan menyekat perjalanan embrio ke dalam rahim.
  • Pembedahan ke atas tiub fallopio - Pembedahan seperti pemandulan dan pembedahan mikro bagi membetulkan tiub yang tersumbat akan meningkatkan risiko kehamilan luar rahim apabila wanita berkenaan hamil setelah berjaya melalui pembedahan tersebut.
  • Masalah pelvis yang teruk seperti endometriosis (masalah di mana terdapat dinding rahim tambahan wujud  di bahagian luar rahim).
  • Masalah kongenital di bahagian kemaluan wanita sejak lahir.
  • Sekiranya wanita hamil ketika masih lagi memakai IUCD, maka kandungannya disyaki luar rahim.
  • Penggunaan pil progesteron atau pil mini - lazimnya diambil oleh wanita yang menyusukan bayi secara eksklusif.

GOLONGAN BERISIKO
  • Pernah mengalami kandungan luar rahim
  • Pernah menghadapi masalah dengan tiub fallopio
  • Pernah melakukan pembedahan pelvis termasuk pembedahan ikat dan sambung semula selepas ikat
  • Mempunyai sejarah kemandulan. Risikonya lebih tinggi bagi yang berusia lebih dari 35 tahun
  • Pengguna IUD
  • Mempunyai sejarah penyakit kelamin akibat sering bertukar-tukar pasangan
  • Hamil ketika sedang menjalani prosedur IVF untuk mengandung

SIMPTOM

Simptom yang mungkin ditunjukkan adalah sakit perut, haid lambat atau tidak tetap, pendarahan faraj ataupun pengsan. 75% pesakit akan menunjukkan masalah yang tidak khusus seperti sakit perut sedikit ataupun pendarahan. Manakala selebihnya mengalami sakit perut yang teruk sehingga menyebabkan pengsan, nadi berdenyut laju, tekanan darah rendah dan muka pucat. Perut pula mungkin kembung akibat pendarahan dalaman.



Simptom sebegini sememangnya menunjukkan kehamilan luar rahim namun ia sudah di peringkat kritikal dan rawatan yang sewajarnya perlu diambil bagi menyelamatkan nyawa si ibu.


CARA MENGENALPASTI KEHAMILAN LUAR RAHIM
  • Pemeriksaan darah dua kali selang 48 jam
  • Ujian imbasan ultra sound dalaman melalui faraj (transvaginal scan)
  • Laproskopi. Kaedah ini dilakukan jika doktor benar-benar mengesyaki pesakit mengandung luar rahim



Sumber: Majalah Pa& Ma